The Red Giants

EN
MY
Selangor FC
SELANGOR FC
BERITA

Reviu Perlawanan PM R16 (2) | Selangor FC 3-0 Kelantan TRW FC | AGG: 5-1 | Gergasi Merah Mara ke Suku Akhir Piala Malaysia 2025/26

Jan 24, 2026 - FAS

Selangor FC mara ke pusingan Suku Akhir Piala Malaysia 2025/26 selepas menewaskan Kelantan The Real Warriors FC 3-0 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya bagi Pusingan ke-16 timbal balik kedua semalam dengan agregat 5-1.

Skuad Gergasi Merah menguasai permainan sejak awal dan membuka tirai jaringan pada minit ke-19 menerusi gerakan pantas import baharu, Hugo Boumous, melakukan larian ke hadapan sebelum menghantar bola kepada Zikri Khalili dan hantarannya tepat menemui Chrigor Moraes, meletakkan Selangor FC di hadapan. Tekanan berterusan membuahkan hasil sekali lagi sebelum rehat apabila hantaran jauh Mohammad Abualnadi kepada Chrigor Moraes dibawa ke hadapan sebelum beliau melakukan lorongan bijak menembusi pertahanan lawan, tepat ke kaki Faisal Halim yang tenang menyempurnakan jaringan pada masa kecederaan, sekali gus menjadikan kedudukan 2-0 pada separuh masa pertama.

Perlawanan berubah rentak pada minit ke-61 apabila Harith Haiqal dilayangkan kad merah, memaksa skuad Merah Kuning beraksi dengan sepuluh pemain hingga tamat perlawanan. Namun begitu, pasukan  kekal tenang mengawal perlawanan dan lima minit kemudian Mohammad Abualnadi sekali lagi terlibat dalam gerakan, sebelum Chrigor Moraes menyempurnakan peluang untuk menjaringkan gol keduanya pada minit ke-66, memastikan kemenangan 3-0 ke atas pasukan sekaligus membantu skuad Gergasi Merah layak ke pusingan Suku Akhir.

Membuat lima pertukaran, Kim Pan-gon, Ketua Jurulatih Selangor FC, berpuas hati dengan prestasi para pemain dan mahu persaingan yang sihat wujud di antara mereka.

“Pertama sekali, saya ingin mengucapkan tahniah kepada para pemain dan juga penyokong atas sokongan yang mereka berikan. Ini adalah kemenangan penting yang memastikan kelayakan ke pusingan seterusnya dan secara keseluruhan saya berpuas hati dengan prestasi pasukan. Permulaan perlawanan tidak seperti yang dirancang dengan pergerakan bola yang terlalu perlahan serta beberapa isu dari segi posisi, namun saya faham situasi ini kerana lima pertukaran berlaku dalam kesebelasan utama. Mereka kurang minit perlawanan dan memerlukan masa untuk menyesuaikan diri. Selepas 20 minit pertama, prestasi pasukan menunjukkan peningkatan yang baik,” jelas Kim Pan-gon

“Bagi saya, kita perlu mewujudkan persaingan yang lebih sihat dalam pasukan. Beberapa pemain perlu bekerja lebih keras untuk mencapai tahap yang sama dengan pemain kesebelasan utama kerana persaingan dalaman amat penting untuk membina sebuah kelab yang kuat. Menjelang perlawanan akan datang, cabarannya pasti lebih sukar kerana pasukan seperti Imigresen FC dan Negeri Sembilan FC adalah pasukan yang kuat dan perlu diberi penghormatan sepenuhnya. Kita sedar masih banyak kerja yang perlu dilakukan dalam persiapan untuk berdepan dengan mereka,” tambah beliau

Daripada perlawanan #SFCTRW dalam perlawanan Piala Malaysia 2025/26 semalam, beberapa perkara penting dapat dilihat, seperti:-

Chrigor Moraes Terus Menambah Jaringan – Penyerang prolifik pasukan berjaya membuka akaun gol Piala Malaysia 2025/26 dengan dua jaringan (minit ke-19 dan 66), sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan golnya musim ini kepada 28 gol.

Sumbangan Besar Mohammad Abualnadi – Pemain pertahanan kiri ini memainkan peranan penting dalam serangan dengan terlibat dalam dua gol, termasuk mencatat bantuan gol pertamanya bagi musim 2025/26 dalam gol terakhir #SFCTRW pada minit ke-66.

Penampilan Sulung Meyakinkan Hugo Boumous – Pemain import baharu, Hugo Boumous, mempamerkan aksi meyakinkan dalam penampilan pertamanya dengan mengawal permainan di bahagian tengah serta terlibat dalam jaringan pembukaan dengan hantaran kehadapan yang tepat ke kaki Zikri Khalili sebelum jaringan terhasil.

Pujian juga harus diberikan kepada semua pemain termasuk barisan tengah dan pertahanan kerana telah berjaya sama-sama mengawal perlawanan dan membantu pasukan layak ke pusingan Suku Akhir Piala Malaysia 2025/26 dengan kemenangan tanpa bolos bagi Pusingan ke-16 kedua semalam. Semua pemain yang terlibat termasuk mereka yang tidak tersenarai adalah penting dalam pasukan.

Seterusnya, skuad Gergasi Merah akan menerima kunjungan Cong An Ha Noi FC di Stadium MBPJ, Kelana Jaya bagi perlawanan minggu keempat saingan Shopee Cup™ 2025/26 pada 28 Januari ini jam 9 malam. Dapatkan tiket ada di sini.

Pihak Pengurusan Selangor FC mengucapkan ribuan terima kasih kepada 5,100 para penyokong yang telah hadir menggemakan Stadium MBPJ, Kelana Jaya dengan sorakkan dan sokongan pada anda. Jumpa lagi pada minggu hadapan!

Demi Kebanggaan!

Kesebelasan Utama: Kalamullah Al-Hafiz, Mohammad Abualnadi, Faisal Halim ©, Hugo Boumous, Zikri Khalili, Safuwan Baharudin, Alexander Agyarkwa, Syahir Basah, Harith Haiqal, Haiqal Lau, Chrigor Moraes.

Pertukaran: 62’ Mamadou Diarra > Haiqal Lau, 68’ Alvin Fortes > Fasial Halim, 68’ Izwan Yuslan > Chrigor Moraes, 68’ Nooa Laine > Alexander Agyarkwa, 75’ Fazly Mazlan > Mohammad Abualnadi.